Sep 10, 2010

EId mubarak~

Bismillahi walhamdulillah.


Hari ini 1 syawal.

Hari ini hari raya.

Pagi tadi dalam pukul 7.30 ada van jenazah melintasi rumah. Saya tertanya-tanya. Rumah siapa yang akan dikunjunginya. Rupanya jiran yang sudah genap 40 hari dimasukkan ke wad di HUSM. Inna lillahi wa inna ilaihi roo ji’un. Pemergian di dinihari 1 Syawal sangat dirasai seluruh ahli keluarga dan sahabat handai. Moga Allah menempatkan roh allahyarham dalam kalangan hambanya yang bertaqwa. Ameen.

Alfatihah~


Dahulu saya ingat van jenazah di pagi 1 syawal hanya ada dalam drama Melayu bila menjelang raya. Tapi hari ini benar ada van jenazah di pagi raya. Sungguh benar. Saya sendiri sempat menziarah jenazah allahyarham sebelum solat sunat hari raya pagi tadi. Sungguh! Benar!

Jadi mengapa masih diragui bahawa mati itu pasti!

Bila-bila sahaja. Pagi raya. Malam raya. Dalam tidur. Semasa sujud. Sepulang dari program tarbiah. Tengah merempit. Tengah menyangkut plastik ‘berisi’ bayi di pintu pagar masjid. Selepas terima duit rasuah. Selepas pecah amanah.Bila-bila sahaja.

Bila sampai masa, tak sesaat diperawal tak sesaat diperlewat.

Dalam dosa maksiat.
Atau..
Dalam basah titis air mata taubat.
Kita akan dijemput pulang.

Pesan Baginda s.a.w tercinta yang dunia ini hanya persinggahan. Ibarat dalam satu perjalanan jauh. Ada satu pohon tempat berteduh. Hanya tempat melepas lelah. Dan kita akan teruskan perjalanan. Yang jauh..

Mari kita berdoa agar amalan kita yang sedikit ini sepanjang Ramadhan khususnya dan sepanjang nafas ini dihela umumnya diterima Allah. Sungguh doa itu harus diiringi dengan perasaan khauf ( takut) dan roja’(harap)

Sungguh takut.

Takut Allah tak terima doa ini.

Takut Allah tolak amalan-amalan hamba hina yang bergelumang dosa seperti kita.

Takut Allah nilai satu-satu amalan kita hingga tiada satu pun yang layak untuk
diterima.

Takut Allah menolak amalan-amalan yang bercampur riak dan takabbur hingga habis sudah amalan kita untuk dihitung.

Sungguh takut.

Tapi berharap. Sangat berharap.

Mengharapkan rahmat Allah untuk mengasihani kelemahan hambaNYa menguruskan nafsu yang bermaharajalela.

Mengharapkan maghfirah Allah untuk mengampuni dosa noda, riak dan takabbur yang
bertempek di hati.

Mengharapkan cinta Allah menerima amalan-amalan yang dipersembah tanda kita seorang hamba.

Mengharapkan rahmat Allah untuk menjauhkan kita dari pedih dan perit azab api neraka.

Mengharapkan rahmat Allah tuk kita terus hidup mengabdikan diri dan kehidupan seluruhnya semata-mata untuk Allah.

Mengharapkan rahmat Allah untuk kehidupan ini berakhir dengan pengakhiran yang Allah redhai yakni husnul khotimah.


Ya Allah, hidupkanlah kami dalam iman. Matikanlah kami dalam iman dan sebaik-baik pengakhiran.. amen.

Taqabbalallahu minna wa minkum~



Selamat Hari Raya untuk semua sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian. Mohon maaf zahir dan batin atas salah silap yang sengaja mahupun tidak. Moga kita semua dirahmati sehingga bertemu Ramadhan yang akan datang dan terus thabat dengan momentum Ramadhan kali ini.Kullu'am wa antum bikhair~

Menjadi hamba Ramadhan, Ramadhan sudah berlalu. Menjadi hamba Allah, Allah maha kekal abadi.

Wallahu a’lam~

No comments: