Dec 18, 2007

Kerana DIA.....

Mari kita TELITI sebuah REALITI
Yang kita PERHATI tapi tak lekat di HATI
Yang selalu kita ULANG tapi sering HILANG

Bagai mengalir air dari hulu ke hilir
Berakit jiwa ke muara usia
Bersama resah tak terisi
Kosong sanubari bersumbat noda
Berkayuh perasaan beralun pendam

Ya Rabb..
Aku bagai si buta
Dalam menilai indahnya
Hidup bersandarkan redhaMu
Bergantung hela nafas pada belasMu
Perpeluk pada rahmatMu
Merindu sendu pada cinta agungMu
Ya Rabb..
Aku bagai si pekak
Yang tuli dalam mendengar alun seru
Bahawa hidup ketentuanMu
Rancanglah dengan apa yang di tangan
Walau hakikatnya yang di tangan itu pun jua kurniaMu
Sedarlah dengan kenyataan
Hidup mati di tangan Tuhan
Yang kelak dihukumi hari kemudian…
Ya Rabb..
Hidup ini
Kuserahkan padaMu
Untuk kau corakkan
Untuk kau bentukkan
Kerana aku laksana si buta
Hati dan mata
Kaca ku sangka permata
Ranting reput ku anggap cendana
Aku tak mampu Ya Rahman...
Aku tak layak Ya Rahim...
Untuk mencetus mahu di kanvas hidupku
Kerana hakikatnya aku tak mampu
Segalanya di luar tahuku..
Ya Rabb..
Hinanya aku
Di saat luka berdarah
Baruku mencari arah
Bergantung sembah
Ya Rabb..
Aku tak mengharap yang terbaik
Untuk setiap yang berlaku
Andai bukan itu redhaMu
Aku cuma ingin bahagia
Dalam ujian ku redha
Walau bertimpa hatta berganda
Ku pohon kekuatan
Tuk ku redah arus ujian
Liku sungai kehidupan
Ku tahu penuh ranjau
Ku sedar tak pernah mudah
Sayup hidup ke penghujung..
Ya Rabb..
Tak ingin ku titiskan air mata
Hanya kerana aku tak beroleh
Apa yang ku mahu
Ku sedar ku akur
RencanaMu mengatasi
Segala yang dalam tahuku..
Ya Rabb..
Jangan biar ia menitis
Kerana timbunan ujianMu
Sedang ia mengarca jiwa hamba
Jangan biar ia mentis
Kerana sakit dunia
Sedang ia meleka jiwa
Menyeksa atma
Biarlah ia menitis
Kerana seulas rasa
Seorang hamba
Yang berdosa….

Damba redhaMu..
Pandan Indah
11.45 pagi
Ibn Hyyan

No comments: